Dua wanita tempatan ditahan bersama dadah pelbagai bernilai RM43,000 dalam serbuan di ebuah rumah pangsapuri di Jalan Klang Lama Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan dua wanita tempatan yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Salah seorangnya didapati telah bergiat dalam aktiviti terlarang itu sejak 10 tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya telah melakukan tangkapan berhubung kes berkenaan di sebuah pangsapuri dekat Jalan Klang Lama pada Jumaat lalu.

“Dalam operasi bermula pukul 7.50 pagi itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields telah menyerbu sebuah kediaman di pangsapuri berkenaan.

“Hasilnya kita berjaya menahan dua wanita tempatan berusia 31 dan 35 tahun disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran bahan terlarang itu.

“Hasil pemeriksaan di salah sebuah bilik yang diduduki suspek mendapati polis menjumpai 1,480 paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat tiga kilogram serta 250 paket plastik berisi ganja (0.3 kg) selain wang tunai RM250.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Basri, kedua-dua suspek wanita itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh sehingga 6 Ogos ini untuk membantu siasatan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau dibawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 379 Kanun keseksaan, manakala suspek kedua mempunyai (9) rekod lampau dibawah Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 3(1) APD 1952 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 1,730 orang penguna dadah dan pasaran dadah tersebut tertumpu di kawasan lembah Klang.

“Justeru suspek pertama juga terlibat dalam aktiviti dadah lebih kurang setahun dan suspek kedua pula terlibat dalam aktiviti dadah lebih kurang 10 tahun.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu dan sumber bekalan yang diperoleh oleh kedua-dua suspek wanita berkenaan.

“Hasil tangkapan tersebut, pihak polis telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warganegara Malaysia,” tegasnya.- MalaysiaGazette