KUALA LUMPUR – Dua kawasan FELDA di Raub, Pahang diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 5 Ogos ini setelah lokaliti itu dikesan berlaku peningkatan kes positif Covid-19.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti itu ialah FELDA Tersang 1, 2 dan 3 Mukim Batu Talam dan FELDA Krau 1, Mukim Gali.
“Setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD bagi dua kawasan ini dikenakan selama dua minggu sehingga 18 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, kata beliau, tujuh lagi lokaliti melibatkan empat di Sabah dan tiga di Terengganu turut dikenakan PKPD dua minggu dari 5 hingga 18 Ogos ini.
Kawasan PKPD di Sabah ialah Kampung Banjar di Keningau, Kem 3 Sibulu di Tenom, Penampang Baru di Penampang dan Depot Tahanan Imigresen Tawau.
Terengganu pula melibatkan Taman Rakyat Bestari 1 – 4, Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman serta Mukim Manir, Kuala Terengganu.
Menurut Hishammuddin, hanya satu lokaliti di Sarawak yang sepatutnya tamat hari ini, tetapi dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 17 Ogos ini, iaitu Kampung Bintawa Hilir, Kuching.
Bagi lokaliti yang tamat mulai hari ini dan esok sebanyak 13 kawasan iaitu Kampung Sungai Tapang, Kuching, Sarawak; Kampung Guruh-Guruh, Sipitang, Sabah; Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progresif Perwira; Kampung Sinulihan dan Universiti Utama Kondominium Fasa 2 di Kota Kinabalu.
Turut ditamatkan ialah Kampung Air dan Kampung Bokara di Sandakan, Sabah; Kampung Sri Menanti, Tawau; Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya di Kota Kinabalu, Sabah.
“Penamatan pelaksanaan PKPD ini berikutan penilaian risiko menunjukkan trend penurunan,” katanya. – MalaysiaGazette