Lelaki tersebut ditemui terapung atas gabus styrofoam ditengah laut sebelum diselamatkan pihak berkuasa semalam.

GEORGE TOWN – Berenang untuk ke Tanah Suci.

Itu alasan seorang lelaki yang diselamatkan sepasukan Polis Marin selepas dia bertindak terjun ke dalam laut di Jeti Tanjung City Marina di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.45 petang yang memaklumkan penemuan seorang lelaki dalam keadaan terapung di tengah laut.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 28 tahun itu merupakan lelaki yang sama berenang dari lokasi tersebut untuk ke tanah besar bagi berjumpa dengan rakannya pada 12 Julai lalu.

Soffian Santong.

Jelas beliau, selepas diselamatkan pada Julai lalu, lelaki tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat patah tangan selain disahkan tidak mempunyai masalah mental.

“Susulan itu, dia diambil oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana mengalami ketagihan dadah yang serius.

Polis Marin menyelamatkan lelaki berkenaan semalam.

“Bagaimapun, semalam sekali lagi dia bertindak terjun dengan alasan mahu ke Tanah Suci.

“Susulan dari kejadian ini, pihak polis telah membawa lelaki berkenaan ke hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap lelaki itu didapati negatif.

“Lelaki itu kini, ditempatkan di Wad Psikiatrik Jalan Perak di sini, bagi rawatan lanjut,” ujar Soffian.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 44 saat menunjukkan seorang lelaki terapung di atas gabus styrofoam di tengah laut sebelum diselamatkan pihak berkuasa.

Lelaki berusia 28 tahun itu turut membawa beg galas bersamanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Terjun selepas tak dapat naik feri dakwaan palsu – Penang Port

MalaysiaGazette pada 14 Julai lalu melaporkan, Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) menafikan dakwaan seorang lelaki terjun ke dalam laut berdekatan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini kerana tidak dibenarkan menaiki feri.

Penang Port dalam satu kenyataan berkata, lelaki berkenaan tidak memasuki terminal untuk menaiki feri mahupun melompat dari SPCT seperti dakwaan yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette