R. Jeyendran

KUALA LUMPUR – Jika beberapa hari lepas, aktivis serta dermawan, Datuk Seri R Jeyendran tampil memberikan sumbangan kontena jenazah pesakit Covid-19 kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Hari ini, pengasas dan pemilik syarikat perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd itu tampil memberikan sumbangan makanan kepada 190 warga HUKM yang siang malam sedang berhempas pulas menangani pandemik ketika ini.

Selain memberikan sumbangan makanan, kata Jeyendran juga, beliau bersama-sama sekumpulan rakan niaga dan kenalan juga tampil turun padang kawasan tertentu yang memerlukan bantuan keperluan asas.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Jeyendran berkata, hakikatnya beliau bukan bertindak mencari publisiti sebaliknya cuba memberi kesedaran kepada pihak-pihak berkemampuan untuk sama tampil membantu.

“Sebenarnya pada masa ini sememangnya keadaan cukup sukar dan getir. Tipulah jika kata semuanya elok-elok sahaja. Bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib tidak cukup.

“Bayangkan sudah berapa lama kita lalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berpuluh-puluh hari. Memang untuk kebaikan kita terpaksa lalui PKP tapi bayangkan berapa ramai yang terjejas kerana PKP ini.

“Bantuan yang dihulurkan itu sudah tidak cukup, wang simpanan juga tidak cukup. Jika keluarga yang ramai dan hanya seorang dua bekerja, dan seandainya pendapatan mereka terjejas atau sudah tidak bekerja hilang kerja, apa nasib mereka?

“Bila saya turun padang, jumpa dan bercakap dengan segelintir dari mereka, hampir menangis saya, ada yang hanya minta bantuan bekalan asas terutamanya makanan untuk mereka teruskan kehidupan.

“Saya cuma mohon kepada yang berkemampuan, bantulah sebanyak yang mungkin, saya mohon sangat-sangat. Kita bantu kita. Jangan terlepas pandang, bantu mereka,” katanya. 

Jeyendran mendedahkan pihaknya sedang dalam persiapkan menyiapkan dan menghantar dua lagi kontena jenazah dan mayat pesakit Covid-19 ke utara memandangkan sudah ada menerima panggilan mohon bantuan.

“Saya melalui syarikat saya, Maritime Network Sdn Bhd ini akan sedaya upaya, ada juga kawan-kawan tampil hendak hulur bantuan tetapi bagi saya setakat ini saya mampu.

“Saya minta mereka gunakan dana itu bantu yang lain-lain. Harap-harap esok petang satu kontena akan diserahkan ke Hospital Kulim.

“Saya sayu hati dengan kes kematian yang meningkat saban hari tapi apakan daya kita, satu Malaysia sedang bergelut dan sedaya melawan pandemik maut ini. Angka semakin meningkat dan hospital juga sedang melalui cabaran termasuk kekangan kontena ini.

“Ini satu keperluan dan saya akan cuba bantu sebanyak yang mungkin, kepada yang lain-lain juga, mungkin anda juga mampu lakukan. Marilah kita bersama-sama bantu rakyat masyarakat kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette