Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mendakwa ada pihak yang kurang senang dengan ketegasan beliau tidak melayan beberapa tuntutan sehingga mencetuskan kemelut politik.

Ia termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan institusi Raja Berpelembagaan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas di sini hari ini.

Tegas Muhyiddin, beliau tidak akan mengorbankan prinsipnya dan membelakang sumpah jawatan untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negera serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Dalam pada itu, beliau menambah, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Malah, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

”Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” kata beliau semasa mengakhiri perutusan khas itu.  – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bullshit…kalau nak lepas dakwaan kena sokong kerajaan dan bodek PM…mcm Azmin, Tok Pa, Xavier dll…bukannya lawan kerajaan…alasan ko tak logik sungguh! Kalau betul apa yg ko kata, nama kan siapa makhluk tu? Supaya dia boleh didakwa sebab campurtangan dlm urusan pendakwaan…ada berani kah? Rakyat bukan bodoh laaa

Comments are closed.