Kenderaan yang membawa salah seorang Menteri Kabinet keluar dari perkarangan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri dilihat keluar daripada perkarangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet.

Kesemua mereka dilihat meninggalkan PMO tepat jam 2 petang dengan dimulakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri, Menteri Sains, Teknik dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Ia disusuli kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jam 2.15 petang.

Tiada sebarang kenyataan direkodkan oleh mana-mana menteri yang keluar.

Hanya Saravanan yang membuka tingkap keretanya namun enggan memberikan sebagai kenyataan.

Mesyuarat Kabinet itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan satu perutusan khas di pejabatnya, pagi tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin didakwa sudah meninggalkan bangunan Perdana Putra untuk pulang ke kediaman peribadinya di Bukit Damansara.

Muhyiddin dalam perutusan itu berkata usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang September ini.

Perkara tersebut telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Muhyddin untuk menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen. – MalaysiaGazette