Sal Kim Kok dikawal oleh polis ketika dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini.

JOHOR BAHRU- Seorang pekerja rumah kebajikan dihadapkan ke mahkmah sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol terhadap kanak- kanak perempuan berusia 10 tahun.

Tertuduh, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Sal Kim Kok didakwa tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyan 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak- kanak 2017 yang jika disabit kesalahan boleh  dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebat bagi setiap setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh juga berdepan pertuduhan merogol mangsa dengan pendakwaan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di sebuah rumah kebajikan di Taman Century di sini sekitar bulan Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa masih berada di rumah kebajikan terbabit yang merupakan tempat tertuduh bekerja.

Tertuduh tidak diwakili peguam memohon agar dibenarkan jaminan kerana mempunyai dua orang anak.

Mahkamah memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 September depan.

Pada 28 Julai, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes melibatkan merogol kanak- kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah kebajikan.- MalaysiaGazette