Bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian

JOHOR BAHRU- Keputusan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional ( PN) Johor, hanya akan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) negeri selepas menerima arahan daripada pucuk pimpinan pusat.

Menurut ADUN Kempas Datuk Osman Sapian, tindakan menarik sokongan tidak mustahil akan dilakukan ekoran keputusan UMNO semalam yang memutuskan untuk menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan UMNO itu jelasnya dilihat seolah-olah memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan PN di Johor hasil gabungan Barisan Nasional ( BN), Bersatu dan Pas telah tumbang.

“Jika realitinya UMNO sudah tarik sokongan kepada PN, maka PN di Johor yang diketuai UMNO sudah jatuh.

“Itu membawa maksud, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad juga perlu meletakkan jawatan beliau, apabila PN tiada majoriti maka secara automatik jawatan beliau itu gugur,” katanya ketika dihubungi mengenai perkara itu.

Osman yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berkata, gabungan Pakatan Harapan ( PH) masih belum dapat menerajui kerajaan negeri kerana tidak memiliki jumlah kerusi dua pertiga.

Katanya lagi, Johor antara negeri cukup unik meskipun berpandukan keputusan di peringkat Persekutuan.

Katanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar masih mempunyai kata pemutus berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun saya tunggu arahan daripada presiden dan buat masa sekarang saya menyimpulkan tunggu dan lihat sebarang keputusan ADUN Bersatu Johor akan terima secara terbuka

“Bagaimanapun kami di Johor tidak boleh mengenepikan Sultan Ibrahim sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.- MalaysiaGazette