Pelakon, Datuk Hans Isaac ketika sidang media selepas selesai Majlis Penyerahan Motosikal kepada Asnaf Ampang di Tall and Order Sdn Bhd, Ampang. foto AFIQ HAMBALI, 16 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Hans Isaac kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menyifatkan kenyataan Zuraida sebagai tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip menghormati institusi diraja.

“Sebagai seorang yang menjunjung perlembagaan negara yang mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja, saya melahirkan perasaan dukacita dengan sikap seorang yang berstatus Ahli Parlimen.

“(Dia) sepatutnya membawa obor menghormati kedaulatan ini tetapi malangnya membawa sikap yang menjurus kepada kebiadaban dan penderhakaan kepada raja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Zuraida dilapor berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu adalah tidak wajar.

Ini selepas Yang di-Pertuan Agong melahirkan rasa dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat pada 26 Julai lalu dilakukan tanpa mendapat perkenan baginda dan tidak dibentangkan di Dewan Rakyat.

Zuraida berkata, Yang di-Pertuan Agong sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Mengulas lanjut, Hans berkata tindakan Zuraida itu menggambarkan dirinya tidak menghormati penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang lalu.

Untuk rekod, Hans menyertai PKR pada November tahun lalu selain dua lagi rakan artis Afdlin Shauki dan Altimet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast