Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penduduk di beberapa buah kampung di daerah Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Pontian kini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas dan berkualiti apabila 13 buah menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah beroperasi sepenuhnya sejak 30 Jun yang lalu.

Pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) akan memberi manfaat kepada penduduk di negeri Johor, sekali gus mengubah serta menaik taraf kualiti kehidupan penduduk setempat.

Daripada 13 menara tersebut; tiga menara terletak di daerah Mersing iaitu di Kg. Orang Asli Punan, Kg. Teriang dan di Jalan Endau-Mersing.

Sementara itu, tiga menara terletak di Daerah Pontian dibina di Kg. Parit Sulaiman, Kg. Hj. Ashari dan Kg. Buloh Kasap.

Manakala, sebanyak enam menara lagi telah dibina di daerah Kota Tinggi di Kg. Nior, Kg. Linting, Kg. Sg. Pacat termasuk di Jalan Jemaluang, Jalan Lombong dan Jalan Tanjung Balau.

Sebuah lagi menara yang dibina terletak di Kg. Bukit Bendar di daerah Muar.

Pada masa yang sama, terdapat 23 lagi menara komunikasi baharu yang kini sedang dalam proses untuk dibina di lapan daerah di negeri Johor oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang bulan Mac 2022.

Dengan adanya penambahan menara-menara komunikasi tersebut, ianya bukan sahaja akan memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan harian dengan lancar tetapi juga memperbaiki tahap sosioekonomi mereka. – MalaysiaGazette