KUALA LUMPUR – Walaupun belum diiktiraf sebagai organisasi rasmi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menggerakkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membincang dan mencari kaedah untuk mengurangkan kes baharu wabak Covid-19.
Katanya, beliau bersama barisan peneraju MPN telah mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pagi ini.
“Perjumpaan pertama ini berlangsung selama dua jam dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari dengan Dr. Noor Hisham memberi taklimat berkenaan dengan bagaimana nak kurangkan penularan ini, termasuk SOP dan suntikan vaksinasi.
“Banyak juga cadangan diberikan Ketua Pengarah kepada MPN ini, selain kita bincang juga kenapa SOP yang dilaksanakan selama ini tidak berjaya dan mencari jalan untuk mengatasinya.
“Antara kegagalan ketara SOP ialah kerana kita tak amalkan mengikut cara sebenar, tidak jaga penjarakan, tidak memakai pelitup muka ketika berada di luar mahupun dalam rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan mengenai cadangan dan kaedah yang perlu dilakukan bagi mengurangi wabak Covid-19.
Majlis taklimat itu diadakan secara maya dan dihadiri sebahagian dari Ahli Majlis MPN yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir.
Menurut mantan Perdana Menteri itu, semua cadangan yang dikemukakan dalam MPN akan disampaikan kepada kerajaan dalam masa terdekat ini untuk tindakan.
Mengenai vaksinasi pula, kata beliau, ada beberapa kelemahan berlaku umpamanya keperluan orang ramai yang disyaratkan membayar sejumlah kos untuk ujian saringan dan vaksin.
“Semua ini kita telah bincang dan bersetuju untuk melaporkan pendapat ini kepada kerajaan dan kepada rakyat supaya mereka mematuhi SOP terutama berkenaan suntikan vaksin.
“Hari ini kita mendengar taklimat ramai keluar untuk mendapatkan suntikan tanpa daftar (walk in), ini tindakan yang baik. Walaupun cara ini lebih pantas, tapi dengan 500,000 sehari perlu ditingkatkan lagi.
“Kita sedar hanya dengan cara vaksinasi saja kita (kerajaan) boleh kurangkan jangkitan walaupun ia tidak memberi jaminan seratus peratus vaksinasi adalah cara mengurangi wabak ini,” kata beliau.
Menurut Dr. Mahathir, semua permasalahan beserta dengan cadangan dan pendapat terutama kempen vaksinasi kepada orang ramai akan disampaikan kepada kerajaan.
Beliau juga mahu orang ramai memberi kerjasama agar usaha yang akan dilakukan MPN nanti lebih tersusun dan berdisiplin dalam melawan wabak Covid-19.
Katanya, beliau sedih selepas mendapati kes baharu positif Covid-19 hari ini mencecah 20,596 kes dan 257 kematian.
“Hari ini lebih 20,000 kes. Kalau kes naik terlalu banyak, kerajaan tidak ada keperluan hendak mengatasinya seperti katil dan perlu adakan hospital sementara untuk kuarantin mereka yang positif tapi tidak serius.
“Takkan kita nak suruh mereka kuarantin di rumah? Ia akan menjangkiti ahli keluarga dan ahli keluarga juga tak tau nak buat apa-apa kalau kesihatan yang positif itu semakin teruk. Mereka tidak ada bekalan oksigen.
“Sebab itu kita dapati ramai yang sampai ke hospital mereka ini meninggal dunia di rumah. Ini yang kita nak tahu dan apa yang harus kita elak daripada berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette