Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya hari ini

KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM9.5 bilion ke Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka tersebut melepasi sasaran awal bagi pelaburan komited untuk negeri itu pada tahun ini iaitu sebanyak RM5.1 bilion.

Ia dijangka akan mewujudkan lebih daripada 6,700 peluang pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan di Pahang selain merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini.

“Pelaburan baharu tersebut merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun 2021.

“Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk Pahang.

“Kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan, dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan, agar manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh warga tempatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Sektor pelancongan, pembuatan di Pahang fokus ECERDC

PKPD: 14 lokaliti di Temerloh, Pahang tamat esok – Hishammuddin

Jangan pandang ringan kebiadapan Zuraida – MB Pahang

Tambahnya, bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Kerjasana ini akab mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.

“Walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette