Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan menerusi konsep Rainforest to Reef’ (R2R), yang mana semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh.

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri Pahang akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sektor-sektor ekonomi strategik seperti pelancongan dan pembuatan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Usaha mengukuhkan industri pelancongan dan pembuatan adalah penting kerana kedua-dua sektor ini telah terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Pelancongan adalah salah satu daripada teras Pelan Strategik Negeri Pahang 2050 dan merupakan sumber pendapatan utama bagi negeri ini yang terkenal dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan menerusi konsep Rainforest to Reef’ (R2R), yang mana semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh.

Antara projek yang dilaksanakan oleh ECERDC bagi menyokong sektor pelancongan di Pahang termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan utama serta pemeliharaan dan pemuliharaan destinasi pelancongan yang popular dan penting di negeri ini.

Salah satu destinasi ekopelancongan ialah Tasik Chini, tasik air tawar semula jadi yang kedua terbesar di Malaysia dan merupakan Rizab Biosfera UNESCO pertama di negara ini.

Selain itu, Taman Negeri Rompin, antara hutan hujan yang tertua di dunia yang baru-baru ini menyaksikan perasmian Rainforest Discovery Centre untuk meningkatkan lagi daya tarikan taman negeri tersebut.

”Pahang juga menawarkan destinasi pelancongan pulau dan pantai bertaraf dunia seperti Pulau Tioman dan Pantai Cherating yang popular sebagai tempat bertelur bagi penyu hijau dan penyu belimbing mulai bulan Jun hingga September.

”ECERDC mencadangkan supaya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dinaik taraf menjadi sebuah tarikan pelancong yang akan turut mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan usaha-usaha pemuliharaan,” katanya.

Bandar Kuantan pula menawarkan pelbagai daya tarikan wajib kunjung, yang mana Kuantan Waterfront merupakan antara destinasi pelancongan yang meriah di mana menara Kuantan 188 yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC .

Destinasi pelancongan lain yang baharu dibangunkan di Pahang oleh ECERDC termasuklah Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan Titik Tengah Semenanjung di Temerloh.

”Projek-projek pelancongan ini telah mencipta destinasi yang menggalakkan aktiviti pelancongan, sekaligus menghasilkan kesan limpahan sosioekonomi dalam bentuk peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk penduduk tempatan,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, walaupun menghadapi cabaran susulan daripada penularan pandemik Covid-19, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama pelaburan swasta dan pemacu ekonomi yang penting di Pahang.

Ekosistem, sumber dan infrastruktur yang telah dibina di negeri Pahang menjadikannya sebagai sebuah destinasi untuk pelaburan dalam sektor pembuatan yang berdaya saing.

Kerajaan Pahang juga telah membangunkan Kawasan Khas Daerah Gebeng Kecil untuk memudahkan pelaburan dan perniagaan.

Selain itu, Pusat Sehenti Pelaburan Gebeng telah ditubuhkan bagi mempercepatkan kelulusan pelaburan di negeri ini.

”Peningkatan infrastruktur perdagangan dan kemudahan pelabur merupakan pemangkin utama bagi sektor pembuatan. Sektor logistik dan perkhidmatan merupakan kelompok ekonomi baharu yang dikenal pasti di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) sebagai pengupaya pertumbuhan sosioekonomi di ECER yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat,” kata Baidzawi. – MalaysiaGazette