Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (kiri) dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kanan) berjalan keluar selepas memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis Parlimen sepatutnya bertanggunghawab sepenuhnya dan memanggil persidangan Parlimen secepat mungkin.

Ahli Parlimen Pagoh itu tidak perlu menunggu sehingga bulan September ini untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen yang ada, kata Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto hari ini.

“Pada pandangan saya sekadar mengeluarkan kenyataan media, surat akuan bersumpah tidak memadai untuk Pengerusi Perikatan Nasional itu untuk terus kekal dalam jawatan PM dan ia sebenarnya melawan arus konvensyen Parlimen yang mana seorang perdana menteri harus membuktikan dia mempunyai sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi di dalam Dewan Rakyat bukan di luar atau menerusi kenyataan media.

“Pada masa yang sama, campur tangan eksekutif yang berlaku dalam Parlimen kali ini diharap yang terakhir dan tidak berulang lagi.

“Bila Parlimen keluarkan surat pada Sabtu lalu untuk menangguhkan sidang khas Parlimen yang sepatutnya berlangsung dalam masa dua hari iaitu 2 Ogos 2021, saya rasa tiada lagi sebarang alasan untuk PM untuk mengarahkan Parlimen mengeluarkan surat dalam minggu ini untuk memanggil sidang dewan rakyat serta-merta,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kanan) bersama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto bercakap kepada media selepas memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

Beliau bersama Ahli Parlimen PKR Sungai Petani Datuk Johari Abdul tampil ditemani peguamnya Sangeet Kaur untuk memberi keterangan kepada polis membantu siasatan kes 107 ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun dalam Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka membantah penangguhan persidangan Parlimen.

Tambah beliau, jika Muhyiddin mahu membuktikan kepercayaan yang dimiliki, ia perlu dilakukan sekarang bukan menunggu sehingga 6 September ini.

Menurut Kasthuriraani lagi, banyak teori tular di media sosial mengaitkan dengan sebarang kemungkinan berlakunya ‘horse trading’ rentetan pengumuman semalam oleh PM persidangan penggal pertama Parlimen tahun ini 6 September ini.

“Krisis politik negara kita sudah menjadi lebih teruk daripada krisis Covid-19 dan kedudukan ekonomi seolah-olah telur di hujung tanduk.

“Kita menyeru Muhyiddin dan Kabinet ambil tindakan segera selaras dengan kenyataan istana yang mahu undi tidak percaya harus dibentangkan secepat mungkin,” tegasnya.

Dalam pada itu Johari juga kesal dengan Muhyiddin yang sememangnya menyedari situasi sudah menjadi tidak menentu sekarang tetapi tidak mengambil tindakan segera.

“Kami pelik dan terkilan, situasi sekarang agar di luar kawalan dan sudah jadi tidak menentu, Muhyiddin seharusnya bertindak segera, tetapi umum sidang Parlimen selepas 30 hari lagi walhal sepatutnya bersidang segera,” katanya.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (kanan) hadir untuk memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

Ditanya mengenai proses pengambilan keterangannya kedua-dua wakil rakyat Pakatan Harapan itu memaklumkan mereka masuk ke premis polis tepat 10 pagi dan polis telah memberikan kerjasama yang baik dan merakam keterangan dengan profesional dan sopan.

“Mereka siap membacakan hak kami untuk menjawab atau sebaliknya untuk soalan pegawai penyiasat sepanjang proses rakam keterangan.

“Maka kami telah memberitahu memilih untuk menjawab soalan di mahkamah dan itu memang tak salah di sisi undang-undang,” katanya.

Johari memaklumkan beliau menerima panggilan polis semalam dan diminta tampil memberi keterangan kepada polis pagi ini.

Kasthuri dan Johari mengharapkan polis menjalankan siasatan secara penuh profesional dan beramanah terhadap semua wakil rakyat tanpa fokuskan pembangkang sahaja.

“Polis menjalankan tugas mereka membuka kertas siasatan yang mana satu kewajiban mereka..saya faham tugas mereka dan tidak boleh salahkan mereka dan kita juga tahu undang-undang dibuat.

“Kita maka tak boleh kata mereka tak boleh buat macam itu terhadap kita (siasat)..undang2 diluluskan di Parlimen dan mereka melaksanakan undang-undang itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette