Aktivis, Nathaniel Tan melakukan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap kerajaan supaya tunaikan lima tuntutannya berkaitan pandemik Covid-19 di Jalan Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis nekad memulakan mogok lapar supaya kerajaan menunaikan lima tuntutannya dalam usaha menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 yang semakin meruncing di negara ini.

Nathaniel Tan, 40, bertindak memasang khemah di kaki lima sebuah bangunan di Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor sejak 4 Ogos sepanjang mogok laparnya.

“Saya tak begitu selesa dengan perhimpunan ramai-ramai kerana kita nak selesaikan masalah Covid-19. Dan saya tidak mahu membawa risiko kepada orang lain,” ulas beliau ketika ditanya MalaysiaGazette mengapa memilih untuk berkampung di kaki lima berkenaan.

Beliau berkata, tindakannya hanya untuk memberi kesedaran dan keyakinan kepada orang ramai bahawa rakyat boleh bersuara dan mempengaruhi keputusan kerajaan.

Aktivis, Nathaniel Tan melakukan plakad lima tuntutannya berkaitan pandemik Covid-19 di Jalan Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2021.

Dalam tuntutannya, Nathaniel meminta supaya kerajaan melantik pakar-pakar dalam dasar awam yang benar-benar memahami situasi penularan Covid-19 dan cara untuk menyelesaikannya, bukan hanya penglibatan ahli politik atau birokrat semata-mata.

Selain itu, beliau menuntut supaya kerajaan menyediakan dana sebanyak RM500 juta untuk kelengkapan peralatan perubatan kepada para doktor dan hospital-hospital kerana ketika ini lebih banyak sumbangan daripada pihak NGO yang dilihat disalurkan kepada barisan hadapan.

Beliau turut menuntut supaya barisan petugas di semua fasiliti kesihatan diberikan kebenaran untuk menyuarakan situasi sebenar berkenaan jangkitan Covid-19 tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Saya rasa kalau semua rakyat tau apa sebenarnya yang berlaku, mereka akan takut. Mereka akan mendesak tindakan yang lebih tegas untuk menangani masalah,” jelasnya yang kecewa dengan perkembangan pandemik kini.

Tuntutan keempat diminta Nathaniel adalah supaya kerajaan menerbitkan senarai penuh semua syarikat yang dibenarkan beroperasi berserta justifikasi kebenaran operasi diberikan, manakala tuntutan kelima adalah supaya pelitup muka jenis N95 dan cecair basmi kuman dibekalkan secara percuma di semua balai polis dan hospital.

Dalam pada itu, beberapa anggota polis daripada Balai Polis Taman Tun Dr Ismail juga didapati berada di lokasi berkenaan untuk memastikan keadaan terkawal selepas mendapat laporan orang ramai berkumpul untuk menemui beliau sekitar jam 10 pagi tadi. – MalaysiaGazette