PTPTN discount National Higher Education Fund Corporation
PTPTN

KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM50,000 berbentuk bayaran balik atau simpanan SSPN-i dengan menyertai Peraduan JomPAY and Win! 2021.

Peraduan ini merupakan hasil kerjasama PTPTN dengan Kumpulan Ambank (M) Bhd (Ambank) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Menerusi kenyataan PTPTN berkata, peraduan ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik menerusi saluran dalam talian JomPAY.

“Hadiah pemenang utama berjumlah RM11,000, tempat kedua RM8,000, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000. Tidak ketinggalan, hadiah saguhati turut disediakan kepada 46 pemenang dan setiap pemenang akan menerima RM500. Hadiah yang ditawarkan ini adalah tajaan sepenuhnya oleh Ambank dengan kerjasama PayNet sebagai jalinan kerjasama strategik dengan PTPTN,” kata perbadanan itu menerusi kenyataan.

Tempoh promosi akan berlangsung selama tiga bulan mulai 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2021.

“Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh promosi untuk melayakkan peminjam mendapat satu (1) cabutan dan penyertaan adalah secara automatik,” tambah PTPTN.

Menurutnya, pemenang yang mempunyai jumlah baki pinjaman kurang daripada nilai hadiah yang dimenangi, lebihan daripada hadiah tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan SSPN-i.

“Selain menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman, secara tidak langsung peminjam PTPTN juga dapat menyertai kempen yang dianjurkan dan memenangi wang tunai sebagai tambahan kewangan membantu mereka membayar balik pinjaman,” kata kenyataan itu lagi.

JomPAY merupakan perkhidmatan pembayaran bil dalam talian terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada para pelanggan melalui mana-mana bank di Malaysia.-MalaysiaGazette