JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kadar vaksinasi di Johor masih belum berada pada tahap memuaskan berbanding beberapa di negeri lain atas faktor pembekalan yang diterima tidak mengikut waktu.
Berikutan itu, beliau berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telah diarahkan untuk melihat situasi yang berlaku.
Tambahnya, perbincangan antara Khairy dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad juga telah mencapai persetujuan untuk meningkatkan penghantaran vaksin daripada 1.3 juta dos kepada 1.5 juta dos.
Oleh itu, kira-kira 40 peratus populasi dewasa di Johor dijangka menerima vaksin sebelum 31 Ogos ini, ujarnya.
“Saya akan selesaikan isu vaksin di Johor kerana baru-baru ini juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah mengenai perkara itu baru-baru ini, di samping Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga ada membuat kenyataan.
“Saya sudah minta Khairy bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba melihat situasi di Johor seperti mana yang telah dibuat di negeri lain kerana saya lihat Johor masih ke bawah,” katanya.
Perdana Menteri mengulas titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan baginda atas kadar vaksinasi di Johor yang masih rendah, iaitu seramai 1,184,151 individu menerima vaksin dos pertama sehingga Isnin lalu.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama Tunku Mahkota Johor sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.
“Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat sendiri,” titah baginda.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau turut mengarahkan kedua-dua menteri berkenaan untuk mengadap Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor bagi memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Dari sudut bekalan sepatutnya tidak menjadi masalah kerana kita dah tempah lebih 130 peratus daripada keperluan negara, maknanya di sini sudah ada lebihan tetapi yang menjadi isu tidak sampai mengikut jadual.
“Contohnya, sepatutnya terima sejuta, namun yang sampai setengah juta sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette