KUALA LUMPUR –  Pelajar program Ph.D. di Pusat Penyelidikan Bahan Dimensi Rendah (LDMRC), Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Farah Hannan Abd Nasir muncul sebagai juara di peringkat kebangsaan dalam Materials Lecture Competition (MLC) 2021.

Farah Hannan sekali gus dipilih sebagai wakil tunggal Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa iaitu Young Person’s World Lecture Competition (YPWLC) yang akan diadakan pada bulan November dan menerima penajaan penuh dari Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3) United Kingdom.

UM telah menyertai pertandingan MLC sejak tahun 2013. Sepanjang 9 tahun ini, UM telah berjaya memasuki pusingan akhir peringkat kebangsaan sebanyak 8 kali.

Tahun ini juga mencatatkan kali ketiga di mana UM berjaya memenangi tempat pertama di pusingan akhir peringkat kebangsaan dan seterusnya layak mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa iaitu YPWLC.

Malah, UM juga pernah meraih tempat kedua dalam pertandingan antarabangsa ini.

Farah Hannan berkata pertandingan di peringkat antarabangsa ini merupakan salah satu landasan untuk beliau berkongsi mengenai projek penyelidikan kepada audiens yang lebih luas.

“Keyakinan dan kebolehan yang ada untuk menyampaikan konsep-konsep yang kompleks dalam bentuk yang mudah difahami merupakan satu kemahiran yang sangat penting, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan akadem.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di LDMRC yang tidak pernah putus memberikan kata-kata semangat dan juga kepada pensyarah-pensyarah di Centre of Advanced Materials (CAM), Fakulti Kejuruteraan yang telah banyak membimbing serta memberi tunjuk ajar.

“Diharap usaha saya ini menjadi pemangkin untuk saya berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia. Saya juga ingin menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut sama memberanikan diri untuk mengambil bahagian dalam acara-acara seperti ini,” katanya.

Penyelia dan juga pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Woon Kai Lin  berharap Farah Hannan akan mengharumkan nama Universiti Malaya dan negara dengan memenangi tempat pertama di pertandingan peringkat antarabangsa.

Materials Lecture Competition (MLC) dianjurkan bersama Institute Materials Malaysia (IMM) dan Institute of Materials, Minerals and Mining (IOM3, UK).

Ia ditubuhkan untuk mempromosikan kesedaran mengenai kepentingan Kejuruteraan Bahan dan Kelestariannya dalam kemajuan teknologi dan manusia sejagat.

Menerusi pertandingan ini, para penyelidik dan pelajar dari universiti awam dan swasta boleh memanfaatkan ia sebagai landasan untuk menunjukkan kemampuan dan keberkesanan mereka dalam menyampaikan hasil penyelidikan atau projek mereka kepada umum.

Pertandingan ini telah diperkenalkan pada tahun 2012 oleh IMM telah mendapat sambutan penyertaan yang luar biasa dari universiti awam dan swasta dan diteruskan pada tahun berikutnya oleh IMM dan menjadi pertandingan tahunan yang ditunggu-tunggu.

Beberapa universiti telah turut serta untuk menjadi tuan rumah antaranya, Universiti Teknologi Mara (2014), Universiti Kebangsaan Malaysia (2015), Universiti Malaya (2016), Universiti Asia Pasifik (2017), Universiti Teknologi Malaysia (2018), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2019), Universiti Putra Malaysia (2020) dan terkini, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2021. – MalaysiaGazette