PAGOH – Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19, esok atau pun lusa ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini kerajaan dalam peringkat akhir untuk memutuskan perincian kelonggaran berkenaan.

“Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu ramai, membabitkan mereka yang sudah dapat dua dos vaksin.

“Saya pun telah lengkap dua dos tetapi sama seperti anda masih tersekat dan agak terbatas pergerakan.

“Contoh pengumuman kelonggaran yang kita akan umumkan nanti termasuk kemudahan yang akan diberi, selain itu termasuklah kelonggaran melibatkan rentas negeri atau daerah.

“Seperti mahu jumpa ibu bapa, suami isteri terpisah atau anak, itu semua kita akan putuskan” katanya ketika ditemui media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil FELDA Lenga Batu 27, di sini, hari ini.

Selain itu, jelas Muhyiddin pengumuman juga akan melibatkan sektor sosial seperti ‘dine in’ atau makan di kedai makan melebihi dua orang.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada wakil masyarakat FELDA Moakil, yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 14 hingga 27 Julai lalu, di lokasi sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast