KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kawasan atau lokaliti di Perak akan diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 8 hingga 21 Ogos ini.
Lokaliti itu melibatkan enam kawasan di Pulau Pangkor iaitu Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.
Menurut Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kawasan lain di negeri itu ialah tapak bina Horizon di Kinta dan dua lokaliti di Mukim Sungkai, Batang Padang iaitu Kampung Perlok Baru dan Kampung Perlok.
Kata beliau, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah di Kinta juga turut diletakkan dalam pelaksanaan PKPD.
Lokaliti lain yang turut dikenakan PKPD ialah Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dan tiga kawasan di Temerloh iaitu Taman Sri Layang dan Taman Rimba di Mentakab serta Taman Tualang Indah.
Sabah pula katanya, membabitkan University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayang di Kota Kinabalu dan Kampung Lohan 1 di Ranau.
“PKPD dikenakan setelah kerajaan meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Hishammuddin, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD bagi Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 & 2, Dalat Mukah di Sarawak dan Bandar Sinsuran di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 14 dan 21 Ogos ini.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 10 kawasan di Kuala Lumpur dan Sabah yang dikenakan PKPD sejak 25 Julai lalu akan ditamatkan esok.
Kawasan itu ialah Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur; diikuti Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Berhala dan Kampung Melayu Bumiputra di Sandakan, Kampung Nagapas Jalan Kebun Lama di Papar dan Kampung Kolam di Kudat.
Lima kawasan lagi di Kota Kinabalu iaitu Taman Sepanggar, Blok D & E Apartment Angkasa, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan dan Kampung Lokub. – MalaysiaGazette