Antara rampasan dadah menerusi Op Conglomerate yang dijalankan pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa dan anak merupakan antara lima individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, pihaknya menjalankan risikan selama sebulan ke atas sindiket berkenaan sebelum melancarkan Op Conglomerate sekitar pukul 3.20 petang Rabu lalu.

Menurut Sahar, dalam serbuan itu, tiga lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun berjaya diberkas.

“Ketua sindiket ini merupakan seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun yang ditahan bersama anak lelakinya berumur 29 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

“Menerusi serbuan di tiga lokasi berbeza iaitu Pudu Ulu dan Cheras serta Puchong, Selangor, polis telah merampas serbuk MDMA seberata 20.38 kilogram, cecair MDMA (26.59 liter), methamphetamine (277.5 gram), pil erimin 5 (500 biji), pil ekstasi (65 biji), kapsul MDMA (182 biji) serta wang tunai sebanyak RM3,420,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, siasatan awal mendapati premis tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah dan disewa selama empat bulan dengan bayaran antara RM2,150 hingga RM2,200 sebulan.

Tambah Sahar, hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada lima suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya lagi, hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek pertama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 9 Ogos manakala empat lagi suspek direman tujuh hari sejak semalam sehingga 11 Ogos.

“Jadi menerusi tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dipercayai bergiat aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut Sahar, nilai keseluruhan rampasan dadah berserta wang tunai dianggarkan kira-kira RM1.28 juta.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette