Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segamat, Tan Chen Choon berkata, dengan adanya ujian RTK-Ag, pejabat kesihatan di setiap daerah (PKD) dapat mengesan pesakit silent carrier Covid-19 komuniti setempat dalam masa yang singkat.
Ia seterusnya boleh membantu PKD mengasingkan dan memberi rawatan yang sewajarnya kepada mereka bagi memutuskan rantaian penularan virus Covid-19.
“Beberapa minggu yang lepas, setiap daerah di Johor telah dilaporkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 secara mendadak dan tidak terkawal.
“Peningkatan ini telah membimbangkan masyarakat setempat. Menurut statistik di lampiran, secara ringkasnya bahawa kes positif baharu Covid-19 telah meningkat lebih kurang tiga kali ganda dari minggu ke-26 hingga minggu ke-30,” kata wakil rakyat DAP itu dalam kenyataan media hari ini.
Chen Choon berkata lagi pun semua daerah di negeri itu sudah diklasifikasikan dalam zon merah.
Pembelian 190, 000 unit Covid Test Kit RTK Antigen oleh kerajaan negeri bagi tujuan pelaksanaan ujian bersasar oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor pernah diumumkan oleh Menteri Besar Johor dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 pada bulan Jun 2021.
Namun dakwa Chen Choon, kerajaan negeri tidak pernah mengumumkan butiran ujian bersasar tersebut sehingga kini.
“Saya menyeru Menteri Besar Johor bahawa sekiranya ujian bersasar tersebut masih belum dijalankan, pada saat kritikal ini, saya mengharapkan satu keputusan tegas dapat dilakukan dengan ujian bersasar yang dibuat dengan kadar segera di mukim-mukim zon merah terlebih dahulu bagi mengasingkan dan memberi rawatan kepada pesakit-pesakit silent carrier dalam komuniti.
“Kerajaan negeri harus menambah peruntukan bagi pembelian Covid Test Kit sekiranya tidak mencukupi,” katanya.-MalaysiaGazette