logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket mencuri kenderaan, dikenali Geng Kok Chung, dengan tertangkapnya empat individu dalam serbuan yang dilakukan di Lembah Klang pada Isnin hingga Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, sindiket itu menyasarkan kereta buatan tempatan dan kenderaan yang dicuri dijual kepada pemilik bengkel yang dikenali mereka.

“Kita percaya kumpulan ini menjalankan aktiviti terbabit di sekitar Brickfields, Cheras, Petaling Jaya dan Dang Wangi, sejak Mac lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Tambah beliau, semakan pihaknya juga mendapati kesemua suspek yang berumur antara 38 hingga 49 tahun itu memiliki rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Menurutnya, empat suspek berkenaan telah dilibatkan dalam ujian saringan urin dan hasilnya negatif.

“Hasil tangkapan kesemua empat suspek berjaya membawa polis kepada tujuh kenderaan yang telah dilaporkan hilang sebelum ini di Cheras, Petaling Jaya, Dang Wangi dan Bandar Kinrara pada tahun ini.

“Reman mereka tamat pada hari ini dan akan dihadapkan semula kepada majistret untuk perintah sambung reman ke atas keeempat-empat suspek bagi melengkapkan kertas siasatan kes untuk tindakan lanjut pendakwaan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – MalaysiaGazette