KUALA LUMPUR – Kira-kira 9,000 jawatan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) telah diisi dan mereka telah ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, selain itu, pihaknya juga telah membuat penugasan semula kakitangan dari fasiliti lain ke Lembah Kelang bagi membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.
“Dari segi status terkini mobilisasi penugasan sumber manusia KKM, setakat ini kita telah mengisi jawatan tetap di Selangor dan Putrajaya sehingga hampir 95 peratus.
“Selain itu, kita membuat pengisian secara kontrak hampir 9,000 jawatan dengan membuat penugasan semula daripada fasiliti lain ke Lembah Kelang.
“Ini melibatkan lebih 2,490 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak yang dibawa untuk ditugaskan di Lembah Kelang dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.
Kata beliau, penambahan itu melibatkan pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, non pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal, pembantu tadbir dan pemandu.
Menurut Mohd Shafiq, strategi tertentu yang dilakukan ialah penempatan sementara 220 pengajar di pusat latihan KKM yang ditugaskan semula ke fasiliti kesihatan sejak 27 Julai lalu.
“Begitu juga penempatan lebih 170 Pegawai Pergigian dan 85 Pegawai Farmasi di Lembah Kelang yang ditugaskan untuk membantu di pusat saringan Covid-19 dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita juga telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menambah petugas bukan kesihatan untuk membantu tugasan mendapatkan maklumat pencegahan lebih awal.
“Ini kita turut adakan kerjasama dan perbincangan dengan kerajaan negeri Selangor dan Negeri Sembilan untuk membantu KKM mendapatkan petugas bukan kesihatan bagi tugasan itu,” katanya.
Menurut Mohd Shafiq, selain penugasan kakitangan, KKM turut menjaga kebajikan barisan hadapan yang bertungkus lumus memberi rawatan dan beberapa aktiviti pencegahan membendung Covid-19.
Kebajikan mereka, katanya, adalah pengurusan tertinggi KKM dengan memberikan elaun khas kepada setiap mereka.
“Walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk meringankan beban kerja mereka dan dalam hal ini, sehingga 10 Julai lalu, KKM telah belanjakan RM759 juta untuk bayaran elaun khas Covid-19 kepada 1.5 juta tuntutan,” katanya. – MalaysiaGazette