KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 yang dilihat semakin meningkat sehingga mencecah 20,596 kes semalam disebabkan negara ini berdepan dengan varian baharu seperti Delta.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim, jangkitan wavak Covid-19 tahun ini berbeza dengan tahun lepas varian utama adalah dari Sivagangga dapat dikawal.
Katanya, kadar kebolehjangkitan antara varian-varian itu juga berbeza yang mana virus Vuhan dari 2 ke 3.5 manakala varian Delta dianggarkan 5 ke 8.
“Jadi, Delta ini merupakan virus yang baharu dan kaedah hendak melandaikan kes itu sedikit berbeza serta mengambil masa.
“Kerana itu, kes positif yang direkodkan tertinggi ialah sekitar Lembah Kelang yang mana kita menjangkakan jangkitan ini dari varian Delta dan cara untuk mengurangi penularan ini adakan vaksinasi.
“Kita menjangkakan vaksinasi lengkap dua dos akan tercapai pada Oktober ini, dan kemuncaknya pada akhir Ogos ini. Itu andaian kita,” katanya pada sidang media bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai peningkatan kes positif, Dr. Hishamshah berkata, daripada 20,596 yang direkodkan semalam, pesakit dalam Kategori 4 dan 5 iaitu yang memerlukan penjagaan di wad kecemasan (ICU) adalah 0.9 peratus.
Ini katanya, bagi Kategori 3 ialah satu peratus, dan jika dicampurkan ketiga-tiga kategori itu, jumlah 1.9 peratus, iaitu yang memerlukan alat ventileter.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mahu kadar pesakit yang serius ini dikurangkan.
“Dengan peningkatan program vaksinasi, kita akan dapat menurunkan lebih lanjut lagi kadar mereka yang dalam Kategori 3, 4 dan 5,” katanya.
Beliau berkata, pertambahan kes di sekitar Lembah Kelang juga berpunca daripada kepadatan penduduk yang tinggi dengan komunitinya bercampur antara warganegara dengan bukan warganegara.
Dr. Hishamshah turut menjelaskan, kejayaan dicapai di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan apabila menunjukkan penurunan begitu ketara dalam kes positif, kemasukkan ke wad ICU dan kematian. – MalaysiaGazette