Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail keluar selepas memberi keterangan mengenai himpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,06 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga lagi ahli Parlimen pembangkang hadir untuk dirakam keterangan berhubung himpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama rakan dalam partinya, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hadir sekitar pukul 3.10 petang dan keluar setelah hampir satu jam dirakam keterangan.

Ia kemudian disusuli dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat keluar sekitar pukul 4 petang.

Menerusi sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit menyatakan mereka mengambil pendekatan untuk tidak menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pegawai penyiasat ketika proses rakaman percakapan.

Menurut Mahfuz, beliau tidak menjawab hampir sebahagian besar soalan yang ditanya dengan menggunakan haknya di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Perhimpunan itu tidak akan berlaku jika kami semua dibenarkan masuk ke kawasan Parlimen, perhimpunan itu adalah kerana kami dihalang untuk masuk ke kawasan Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai dirakam keterangan hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk dirakam keterangan itu berlaku ekoran kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan.

Kata Ahli Parlimen Pulai itu, beliau mengambil langkah sama seperti Mahfuz untuk tidak menjawab segala soalan-soalan yang diberikan.

“Kita telah memberi keterangan dan saya juga memilih untuk tidak menjawab segala soalan yang diberikan dan kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin pula  berdepan dengan 28 soalan dengan kebanyakannya berkisar mengenai himpunan tanpa izin serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun beliau dinasihati oleh peguamnya untuk tidak menjawab segala persoalan yang dibangkitkan itu di mahkamah.

“Saya hadir untuk beri kerjasama kepada polis yang membuka kertas siasatan dengan memberi kerjasama penuh. Seperti yang sedia maklum, kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 memberikan kita peluang untuk memilih tidak menjawab ketika keterangan diambil, kami memilih itu.

Kehadiran hari ini adalah sebahagian daripada siri panggilan yang dibuat kepada ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang sejak beberapa hari yang lepas,” ujarnya.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran turut hadir untuk dirakam keterangan di IPD Dang Wangi pada pukul 10 pagi tadi.

Pada Rabu, seramai enam ahli Parlimen dipanggil untuk rakaman percakapan iaitu ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Dr. Maszlee Abdul Malik (MP Simpang Renggam), Tony Pua (MP Damansara), Fahmi Fadzil (MP Lembah Pantai), Hannah Yeoh (MP Segambut) dan  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MP Muar).

Manakala semalam membabitkan ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto serta ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi laporan yang diterima dan akan memanggil individu terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

Pada Isnin lalu, cubaan puluhan ahli Parlimen pembangkang berarak dari Dataran Merdeka untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bulatan Dato Onn.

Antara yang hadir dalam himpunan tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – MalaysiaGazette