KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Universiti Malaysia Sabah.
Peletakan jawatan yang berkuatkuasa serta merta itu dibuat sebagai patuh dan setia atas ketetapan parti yang memutuskan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos lalu.
Beliau yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Pengerusi ALP Universiti Malaysia Sabah.
“Namun, selaras keputusan yang telah diputuskan dalam MKT UMNO pada 3 Ogos lalu, saya, sebagai Ahli MKT turut patuh dan setia atas ketetapan parti ini.
“Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta merta,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau antara dua ahli MKT UMNO yang meletakkan jawatan dalam GLC, selepas Datuk Muhammad Razlan Rafii meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Khamis lalu.
Menurut Abdul Rahman, UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang mendokong Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3.
“Akhir kata, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Universiti Malaysia Sabah kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya di universiti itu.
“Semoga kita semua berada dalam lindungan Allah S.W.T, demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette