Enam pelacur warga asing termasuk dua lelaki tempatan ditahan dalam OP Noda,semalam di kawasan Iskandar Puteri.

 

ISKANDAR PUTERI – Lapan termasuk enam wanita warga Thailand dan Vietnam ditahan dalam dua serbuan secara berasingan di Nusa Bestari, di sini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua suspek berusia 27 hingga 35 tahun itu ditahan di sebuah hotel dan kediaman, kira-kira jam 4.45 petang Khamis lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan Polis Daerah Iskandar Puteri telah membuat dua serbuan di alamat berasingan yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan Nusa Bestari.

“Dalam serbuan pertama yang dijalankan seorang wanita warga asing berumur 28 tahun telah ditahan kerana disyaki bekerja sebagai pelacur.

“Manakala serbuan kedua, pihak polis telah menahan seramai 7 individu yang terdiri daripada dua orang lelaki warga tempatan berusia 33 dan 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu dan penjaga premis.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Polis turut merampas 36 kondom, kertas memaparkan jadual kerja, sebuah kereta, kunci rumah, empat buku catatan pekerjaan, perakam kamera litar tertutup (CCTV), 12 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM813.

Beliau berkata, kedua-dua warga tempatan itu direman empat hari bermula semalam hingga 9 Ogos ini.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-MalaysiaGazette