KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS)  akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara.

Setiausahanya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai selepas perjumpaan khas Pengerusi GPS, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, bersama ahli-ahli Parlimen GPS.

Menurutnya, pendirian itu diambil dengan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan (September 2021).

“GPS juga menyifatkan keputusan perdana menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan.

“Selain itu, GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, selain mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.

“GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya.

Terdahulu, 31 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan akan terus bersama Muhyiddin dan PN untuk meneruskan pentadbiran kerajaan hari ini.

Sebelum itu, beberapa pemimpin UMNO telah menarik sokongan terhadap PN serta meletak jawatan dalam Kabinet.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast