Ronald Kiandee meninjau pelaksanaan kerja-kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membuat pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141] untuk memberikan kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pindaan yang dicadang untuk dibawa ke sidang Parlimen terdekat ini akan memperluaskan skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.

Buat masa ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.

FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan bagi memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu memandangkan ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan.

Ronald berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan kerja-kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini.

Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah yang dijangka siap pada bulan Ogos 2022 ini adalah sebahagian daripada Pelan  Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA @ KKIP (2021 – 2025) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta.

Kompleks ini diunjur akan mampu mengendalikan sehingga 21,000 tan metrik buah-buahan dengan nilai RM 123 juta apabila siap sepenuhnya kelak.

Selain pembinaan pusat pemprosesan ini, FAMA juga naiktaraf Pusat Operasi Kota Kinabalu, pembinaan bilik-bilik sejuk, menambah stor simpanan operasi, dan membangunkan depo penyimpanan dan pengedaran yang merupakan sebahagian daripada Pelan Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA @ KKIP.

Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah secara khususnya akan memberi kemudahan dan persediaan tersedia kepada golongan sasar di samping membantu mereka memasarkan hasil pertanian bagi mengelakkan dari berlaku lebihan atau lambakan hasilan pertanian.

Ia juga berperanan bagi memproses buah-buahan untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minimum.

Pusat ini juga dijangka mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metrik kelapa, 240 tan metrik nanas MD2, 960 tan metrik sayuran kobis menjelang tahun 2025 bagi pasaran tempatan dan eskport.

Menurut Dr Ronald, sehingga kini, FAMA telah mewujudkan sebanyak 12 pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku dan empat pusat memproses makanan di seluruh negara berakreditasi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna seperti yang berada di Batu Kurau, Perak, Jerantut, Pahang, Machang, Kelantan dan lain-lain lokasi.

Pusat-pusat ini dibuka kepada mana-mana usahawan yang ingin bekerjasama dengan FAMA bagi penggunaan pusat tersebut.

Buah durian kampung yang diproses hasil daripada aktiviti khidmat pemasaran yang dijalankan oleh Pusat Operasi FAMA dapat membantu petani yang mengalami masalah lebihan bekalan serta membantu pengusaha dan usahawan yang menggunakan pes, tempoyak dan ulas dalam produk hiliran.

Jumlah belian keseluruhan durian kampung oleh Pusat-Pusat Operasi FAMA sehingga 3 Ogos 2021 adalah sekitar 158 tan metrik dan dari jumlah tersebut 52.76 tan metrik (33%) dijual secara segar dan 105.29 tan metrik (67%) telah diproses oleh tujuh pusat memproses FAMA. Aktiviti pemprosesan dijangka berterusan sehingga minggu kedua/ketiga Ogos 2021.

Keseluruhan hasil pemprosesan adalah sebanyak 18.85 tan metrik.

FAMA akan menambah belian durian kampung sebanyak 200 tan metrik lagi sehingga akhir musim dan akan menghasilkan pes durian antara 20 tan metrik hingga 24 tan metrik.

Manakala, dari bulan Januari hingga Julai 2021, 457.8 tan metrik barangan segar terpilih telah dihantar ke Semenanjung Malaysia oleh FAMA Negeri Sabah dengan nilai RM 1.23 juta.

Antara komoditi tersebut adalah Pisang Sabah, pomelo dan halia tua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast