Mohd Redzuan.

GEORGE TOWN – Kini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik, tambahan pula dalam keadaan negara sedang bergelut dengan krisis Covid-19 dan ekonomi.

Itu pendirian yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas- tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof selepas diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin UMNO dalam menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan menarik sokongan itu merupakan kehendak peribadi ahli politik memandangkan ada segelintir ahli politik mahu menjadi pemimpin buat rakyat manakala sebahagian lagi mahu menjadi ahli politik yang mentaati hierarki tertinggi.

“Kalau mereka (ahli politik) penting diri sendiri atas sebab untuk mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, itu terpulang pada mereka

“Rakyat sudah lihat kepimpinan ahli politik itu sendiri apabila diangkat atau diamanah sebagai wakil rakyat. Jadi kurangkan berpolitik ketika ini dan bila tiba pilihan raya baru kita fikir soal berpolitik.

“Saya nasihatkan agar kita (ahli politik) bersama-sama kerajaan dalam memastikan pengurusan krisis Covid-19 dan ekonomi teratur demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Pulau Pinang di Air Itam di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Redzuan mengadakan taklimat dan pemakaian vest pemerkasaan komuniti bersama Ketua-ketua Komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan melaksanakan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Mengulas dakwaan pemimpin pembangang tentang wujud urusan ‘membeli ahli Parlimen tertentu’, Mohd Redzuan berkata, semua ahli Parlimen perlu tunggu keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk undi percaya sebaik Parlimen bersidang pada September ini.

“Soal pembangkang cakap itu, saya tak tahu dan tidak mahu campur.

“Seperti saya beritahu tadi, persoalan ini terpulang pada jati diri orang yang ceburi politik kerana kita tidak boleh gadai atau berniaga dalam politik semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

“Kita kena letak diri ini sebagai pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat untuk membawa hasrat mereka ke dewan (Parlimen),” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan akan terus menjalankan tanggungjawab dalam mengekang penularan Covid-19 dalam negara, sekali gus merancakkan semula ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast