Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk menyampaikan titah perutusan kas sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada 9 Ogos ini yang diadakan secara hibrid.

Majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya bermula jam 6 petang.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh, majlis akan berlangsung mengikut kelulusan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Ogos lalu.

Katanya, sambutan itu bertujuan mengajak masyarakat sama-sama berdoa memohon perlindungan dari bahaya Covid-19 serta sentiasa bersabar dan berpegang teguh pada agama walau dalam apa jua keadaan.

“Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ialah Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, signifikan kepada ummah di negara ini dan sebagai motivasi meletakkan nilai Rabbani dalam mendepani situasi getir serta sukar.

“Pada hari itu, Perdana Menteri akan menyempurnakan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan kepada seorang tokoh dari luar negara yang banyak jasa dan sumbangan kepada ummah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengajak dan menjemput seluruh masyarakat mengikuti acara itu yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta media sosial rasmi Jakim.

Selain itu, kata beliau, Radio Nasional FM, Radio IKIM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (bahasa Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli) turut membuat lintas langsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast