Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaannya meraih pingat perak di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaannya meraih pingat perak di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan atlet negara itu yang berjaya membawa pulang pingat buat kontinjen negara.

Ia sekaligus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua juga menyifatkan pencapaian Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia. Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan olehnya,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara serta seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga semua atlet negara akan memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara di kejohanan lain yang mendatang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast