Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang diburu polis sejak dua minggu lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam akhirnya berjaya ditangkap.

Suspek berusia 60 tahun itu ditangkap awal pagi tadi dan akan dihadapkan ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi esok untuk direman bagi membantu siasatan lanjut polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penangkapan lelaki warga India itu dilakukan pukul 9 pagi di Jalan Batu 8, Bukit Kemuning Seksyen 25, Shah Alam.

“Suspek berjaya ditahan selepas hampir dua minggu diburu polis untuk membantu siasatan kes bunuh wanita tempatan itu.

“Kita akan membawa suspek ke Mahkamah Shah Alam pukul 10 pagi esok (Isnin) untuk proses perintah reman. Kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, apabila kertas siasatan dilengkapkan nanti, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Selangor untuk arahan keputusan lanjut kes ini.

Jumaat lalu, Baharudin dalam kenyataan berkata polis telah mempergiatkan usaha mengesan seorang lelaki warga India bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita berusia 60-an di Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Julai lalu.

Mangsa wanita tempatan ditemui dengan kesan cedera di muka dan kepala di belakang deretan kedai di kawasan taman perumahan berkenaan kira-kira pukul 7.06 pagi, 26 Julai lalu.-MalaysiaGazette