Gambar HIasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 bakul makanan telah diagihkan kepada ahli-ahli kariah empat buah masjid di kawasan Segambut dan golongan yang memerlukan.

Penyerahan itu disempurnakan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR) antara Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), demi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Empat masjid yang terlibat dalam program bantuan berkenaan adalah Masjid Al-Qurtubi, Masjid Imam Al-Ghazali,
Masjid Al-Ubudiah dan Masjid Al-Firdaus.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerjasama ini sangat dialu-alukan dalam menterjemahkan usaha kerajaan untuk membantu dan meringankan beban rakyat yang memerlukan bantuan.

“Di samping itu, ia juga dapat memastikan kebajikan mereka terbela dengan mempunyai bekalan makanan serta keperluan asas yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitahmemberi memberi jaminan pihaknya akan sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran setiap projek yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, melalui program seumpama ini bukan sahaja hubungan LHDN dengan rakyat akan menjadi lebih erat, malah ia sekali gus akan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan mereka berkenaan betapa pentingnya sumbangan cukai pendapatan untuk manfaat negara.

Sabin berharap, supaya inisiatif dan kerjasama sebegini akan diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai rakyat dapat dibantu khususnya golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan. – MalaysiaGazette