ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh Geng Ameng untuk melakukan aktiviti pecah rumah dan hotel di Banting, Selangor hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan Geng Ameng yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pecah rumah dan hotel di dalam satu operasi sekitar Banting dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat. Suprintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, tangkapan itu melibatkan tiga lelaki tempatan di mana dua daripadanya berbangsa India manakala seorang lagi Cina dengan masing-masing berusia awal 20-an.

“Semasa tangkapan dijalankan, pihak polis telah merampas sebilah parang dan sejumlah dadah daripada suspek. Antara dadah yang dirampas adalah lapan paket syabu, 10 biji pil eramin five dan enam paket ganja.

“Hasil soal siat ke atas ketiga-tiga suspek telah menunjukkan kepada polis tempat penyimpanan barang-barang hasil pecah rumah di sekitar Banting,” katanya tanpa menyatakan lokasi tangkapan dibuat dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, antara barang kes yang ditemui dan dirampas adalah tiga buah kompressor penghawa dingin, tiga penghawa dingin, tiga buah alat kawalan jauh, satu pembesar suara dan tiga buah televisyen.

Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

Hasil saringan air kencing turut mendapati kesemua mereka didapati positif dadah jenis methapetamine.

Tambah beliau, dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek terbabit polis percaya telah berjaya menyelesaikan lebih kurang 10 kes pecah rumah dan hotel peranginan di sekitar daerah itu.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari di lokap Balai Polis Banting dengan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Telok Datok Banting.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seskyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil, Sesyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette