Orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada individu-individu yang sudah menerima vaksin seperti yang diumumkan kerajaan semalam adalah tidak wajar.

Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan Masyarakat Malaysia (MSOSH) berkata, ini kerana walaupun kelonggaran tersebut dilaksanakan di negeri-negeri Fasa 2 – yang mana dikatakan kadar atau nilai ambang jangkitan di kawasan tersebut sudah agak terkawal, kadar vaksinasi di negeri-negeri ini masih di bawah 50 peratus.

Presiden MSOSH, Dr Shawaludin Husin berpendapat pada waktu ini, tidak wujud keperluan mendesak untuk melonggarkan SOP sedia ada di semua negeri.

”Pertama, kes harian dalam negara masih tinggi pada paras hampir 20,000 dengan kes kategori 4 dan 5 dengan kadar peratusan semakin meningkat sehingga 600 orang sehari. Pesakit tenat ini akan memerlukan bantuan oksigen sekurang-kurangnya antara 10 hingga 21 hari.

”Umum tahu keadaan fasiliti kesihatan kita sudah melebihi tahap maksima. Semalam kita telah saksikan kadar kematian tertinggi dicatatkan sebanyak 360 kematian dengan 85 orang brought-in-dead, iaitu meninggal dunia di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika trend ini sedang meningkat, kualiti perkhidmatan kepada pesakit bukan Covid-19 turut terjejas kerana penumpuan yang lebih kepada kes-kes Covid-19,” kata Shawaludin yang juga pengamal perubatan bertauliah dengan pengkhususan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Meskipun langkah itu dikatakan diambil untuk menyeimbangkan impak kepada ekonomi yang merudum, pekerjaan dan perusahaan serta pelaburan yang hilang, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat, tetapi langkah ini kelak bakal mengorbankan lebih banyak nyawa.

Dasar yang lebih berkesan dan tuntas diperlukan bagi mengatasi perkara ini dengan lebih jelas lagi.

Oleh itu, katanya adalah wajar untuk kelonggaran-kelonggaran ini ditangguhkan dahulu.

Mengambil contoh kelonggaran di negeri-negeri PPN Fasa 2, Shawaludin percaya ia tidak selari dengan data dan angka kerana kes-kes di negeri itu juga mencatatkan kenaikan bukan penurunan.

”Lebih mengerikan, kelonggaran yang diberikan ini sangat berisiko untuk lonjakan kes Covid-19 seperti rentas daerah dan dine-in di kedai makan.

“Mereka yang sudah menerima vaksin masih boleh saling menjangkiti dan ini sangat berisiko buat mereka yang masih belum divaksin sepenuhnya,” katanya.

Menurut data terkini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, negeri-negeri dalam Fasa adalah Pulau Pinang, iaitu dengan 27.8% dewasa sudah menerima dua dos vaksin, Perak (29.4%), Pahang (26.2%), Terengganu (31.9%), Kelantan (24.4%) dan Sabah (16.7%).

”Kita bimbang di kala kadar vaksinasi yang rendah di kawasan tersebut, perkhidmatan dan fasiliti kesihatan di negeri-negeri ini akan lumpuh seperti di Lembah Klang.

”Oleh itu, ini bukan masa yang sesuai untuk menguji amalan SOP baharu dengan kelonggaran seperti ini. Ia akan terus meletihkan pekerja barisan hadapan yang telah pun lesu, menjejaskan kualiti penjagaan serta membahayakan nyawa petugas kesihatan” kata Dr Shawaludin.

Dalam pada itu, Shawaludin juga menyeru agar pihak korporat dan badan bukan kerajaan menggembleng tenaga menyalurkan bantuan kepada hospital-hospital kerajaan, terutama di kawasan Lembah Klang dan lain-lain negeri yang terjejas teruk.

”Kita mohon bantuan berterusan dalam bentuk ubat-ubatan, katil, bekalan oksigen dan peralatan-peralatan sokongan seperti pelitup separuh muka N95, sarung tangan dan gaun isolasi kerana ia sememangnya tidak mencukupi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast