Mangsa Ishak Muda, 60, bersama rakan-rakan telah keluar ke laut pada 7 Ogos lepas

KUANTAN – Seorang nelayan warga emas dilaporkan hilang pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng, Kuantan petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, mangsa, Ishak Muda, 60, bersama rakan-rakan telah keluar ke laut pada pagi Sabtu dengan bot pukat jerut.

“Pengadu, Tengku Daud Tengku A Bakar memaklumkan mangsa bersama kru yang lain dan bot merapat ke Jeti Kompleks Kemunting pagi semalam.

“Kehilangan mangsa disedari oleh tekong setelah tiba di jeti pagi semalam dan usaha-usaha mencari mangsa di jeti serta daratan telah dilakukan oleh rakan-rakan kru namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan sambil menambah operasi mencari dan menyelamat telah degerakkan pada jam 4 petang semalam..

Menurut Amran, kali terakhir mangsa dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju itu disyaki jatuh ke laut di lokasi penangkapan ikan.

Selain itu, maklumat kehilangan mangsa turut disalurkan kepada agensi lain serta komuniti nelayan tempatan bagi membantu pencarian.

Menurut Amran, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette