Vice-Chairman of DAP cum Member of Parliament (MP) of Ipoh Barat, M. Kula Segaran. RM30 million buying MP corruption
Vice-Chairman of DAP cum Member of Parliament (MP) of Ipoh Barat, M. Kula Segaran.

IPOH – Polis Perak telah menghantar laporan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran menerima mesej berunsur rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada setiausaha sulit Ahli Parlimen berkenaan pada jam 1.56 tengah hari pada Sabtu lalu.

Jelas beliau, berdasarkan laporan polis itu, individu tersebut mendakwa menerima mesej berunsur rasuah daripada dua nombor tidak dikenali pada Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 malam.

“Kita sudah menghantar laporan berkenaan kepada SPRM negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut. Selain Perak, dua lagi laporan polis turut dibuat di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mior Faridalathrash menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut memandangkan ia masih dalam siasatan pihak SPRM.

Pada Sabtu lalu, M. Kula Segaran mendakwa telah dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat.

Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad dihubungi berkata, pihaknya akan merekodkan keterangan Ahli Parlimen itu dalam masa terdekat.

“Kami telah menerima kes rujukan daripada pihak polis dan siasatan sedang dijalankan,” ujar Mohd Fauzi. – MalaysiaGazette