Gambar hiasan.

TUMPAT – Polis Kelantan mengesahkan menerima satu laporan melibatkan seorang bomoh berusia 39 tahun yang mendakwa dipukul sekumpulan lelaki berkaitan isu ‘Sihir 7 Keturunan’ dan santau yang kini tular di media sosial.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kes berpunca daripada perselisihan faham antara sekumpulan lelaki dengan mangsa iaitu seorang pengamal ilmu perubatan tradisional yang berasal dari Kangar, Perlis dan datang ke Kelantan bagi membincangkan urusan rawatan tradisional.

“Berdasarkan laporan, kejadian pukul berlaku pada 4 Ogos lalu apabila pengadu (mangsa) telah pergi ke sebuah rumah inap desa di Kubang Kerian untuk berjumpa dengan empat lelaki.

“Semasa berada di rumah tersebut kira-kira pukul 9.45 malam mangsa telah dipukul oleh kumpulan lelaki itu dengan menggunakan batang plastik dan penyangkut baju kerana tidak berpuas hati dengan cara mangsa menjalankan pengubatan yang didakwa salah,” katanya ketika ditemui di Program Outreach Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mandol, di sini hari ini.

Shafien berkata, mangsa hanya mengalami cedera ringan iaitu lebam di mata kiri dan calar di muka namun mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kerana menghidap penyakit lain.

“Susulan kejadian itu dan laporan yang diterima pada 6 Ogos  (Jumaat) oleh mangsa, polis telah menahan enam lelaki berumur 32 hingga 42 tahun yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu,” katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan. – Bernama