Rata-rata penduduk Lembah Klang dan Selangor bersetuju dengan pengumuman negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah dan makan dalam restoran.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata penduduk Lembah Klang dan Selangor bersetuju dengan pengumuman negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah dan makan dalam restoran.

Mereka akur kerana situasi di Lembah Klang terutama Selangor masih dibayangi dengan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi.

Bagi Aida Syazwani Karman, 23, kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang telah memasuki fasa 2 dan 3 PPN seperti diumumkan merupakan tindakan positif.

Namun beliau kecewa kerana melihat kepada statistik kes positif harian dan kes kematian yang semakin tinggi mutakhir ini.

Orang awam, Aida Syazwani Karman, 23, bercakap mengenai kelonggaran SOP individu yang lengkap vaksin di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.
Aida Syazwani Karman. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

“Saya setuju dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hari-hari saya lihat kes positif  semakin meningkat dan kes korban juga meningkat. Covid-19 sekarang semakin mengganas dan bukan satu varian biasa.

“Saya kecewa juga sebab Selangor dan Kuala Lumpur masih dalam Fasa 1 PPN, kita lawan pandemik ini sudah dua tahun tapi tidak ada perubahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Justeru itu, Aida berharap agar kerajaan mengambil tindakan drastik bagi memastikan graf kes positif Covid-19 dapat dilandaikan segera.

“Bagi saya kerajaan kena buat tindakan drastik macam mungkin kilang-kilang kena tutup. Kenyataan KKM (Kementerian Kesihatan) menyatakan kebanyakkan kluster tempat kerja sumbang kepada kes yang banyak, kalau tutup kilang secara langsung wabak itu tidak akan dibawa pulang ke rumah.

“Kalau kilang masih dibuka sampai sekarang bagi saya sampai bila-bila pun tidak ada penurunan kes kalau rakyat suruh duduk dirumah tapi kilang dibenarkan dibuka. Ini semua kena ada tindakan drastik daripada kerajaan,’ katanya lagi.

Orang awam, Mohd Azim Junus, 34, bercakap mengenai kelonggaran SOP individu yang lengkap vaksin di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.
Mohd Azim Junus. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

Mohd Azim Junus, 34, dirinya tidak kecewa dengan pengumuman Muhyiddin semalam yang tidak memihak kepada penduduk sekitar negeri-negeri di bawah Fasa 1 PPN.

Jelasnya, ini adalah cabaran yang terpaksa ‘ditelan’ oleh penduduk di Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor kerana kes di negeri-negeri berkenaan masih tinggi.

“Negeri Fasa 2 PPN sudah dapat kelonggaran, saya setuju. Saya tidak kecewa sebab Kuala Lumpur dan Selangor masih dalam Fasa 1 PPN, kita kena ikut pelaksanaan SOP yang telah direncanakan kerajaan.

“Saya terima dan rakyat kena patuh kepada pelonggaran SOP yang telah diumumkan Perdana Menteri, ia untuk kebaikan kita semua. Negeri-negeri yang dilonggarkan SOP, silakan tapi negeri-negeri yang masih dalam Fasa 1 PPN, kita kena patuh kepada SOP,”  katanya.

Mohd Zulfadhil Adhwa, 37, mengakui mahu menikmati kelonggaran yang sama namun di Kuala Lumpur dan Selangor kes Covid-19 semakin tinggi jadi.

Orang awam, Mohd Zulfadhli Adhwa, 37, bercakap mengenai kelonggaran SOP individu yang lengkap vaksin di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.
Mohd Zulfadhli Adhwa. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

“Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri untuk longgarkan SOP sebab fasa 2 sudah boleh dine-in maka mereka kena jaga kesemalatan diri sendiri, kita di Selangor dan Kuala Lumpur memasuki fasa 2 kita kena juga berjaga-jaga sebab Covid-19 masih ada lagi,” katanya.

Menurut Haliza Helman, 41, rakyat di tujuh negeri yang masih di bawah Fasa 1 PPN perlu memandang kelonggaran yang diterima oleh negeri-negeri di Fasa 2 dan 3 PPN sebagai pembakar semangat untuk mengurangkan kes positif Covid-19.

Untuk itu, beliau berkata ,rakyat di negara ini harus mematuhi SOP yang telah disenaraikan agar Malaysia kembali ke landasan sebenar dan keluar daripada kemelut yang dibawa pandemik.

Orang awam, Haliza Helman, 41, bercakap mengenai kelonggaran SOP individu yang lengkap vaksin di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.
Haliza Helman. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

“Bagi saya kebenaran untuk mendirikan solat di surau dan masjid adalah satu rahmat, senang untuk kita solat sebab sebelum ini kita nak kemana-mana susah, SOP diperketatkan. Bila kerajaan beri kelonggaran, itu sudah baik untuk kita.

“Saya tidak kecewa, tapi pelaksanaan ini bagus untuk kita sebenarnya bagi menjaga keselamatan kita, kalau tidak kita main langgar SOP yang telah ditetapkan. Ini untuk kebaikan bersama,” katanya.

Mengulas mengenai itu, Mohd Sabri Mohd , 34, berpandangan bahawa kerajaan membuat kelonggaran itu berdasarkan kepada fakta dan data kes yang diterima daripada KKM.

Mohd Sabri Mohd. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

Beliau berkata kelonggaran itu tidak sesuai dilaksananakn kepada negeri-negeri yang masih mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Kerajaan buat kelonggaran itu berdasarkan kepada fakta dan data kes, jadi kalau ikutkan data pun ia tidak berapa nak memberangsangkan. Saya harap negeri-negeri Fasa 1 PPN lebih banyak bersabar dan kita boleh masuk Fasa 2 PPN dan kita boleh dapat kelonggaran sama.

“Kalau diberikan kelonggaran untuk Fasa 1 juga, saya rasa tidak sesuai dengan situasi Covid-19 yang semakin meninggi di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Muhyiddin dalam perutusan khas semalam berkata, kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat di negeri-negeri fasa 2 dan 3 PPN melakukan perjalanan rentas daerah mulai 10 Ogos ini.

Namun kelonggaran itu adalah bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap apabila penerima jenis vaksin dua dos yang sudah melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Selain itu, individu yang sudah lengkap vaksinasi juga dibenarkan untuk dine-in atau makan di restoran bermula Selasa ini.

Turut dibenarkan ialah aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

Boleh rentas daerah, dine in jika terima vaksin lengkap di negeri Fasa Dua PPN – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast