Tentera Afghanistan gagal mempertahankan Kunduz yang kini dikuasai Taliban. foto Reuters

KABUL – Taliban telah menguasai tiga ibu kota wilayah di Afghanistan.

Mereka menguasai bandar Kunduz utara pada hari Ahad, serta Sar-e-Pul dan Taloqan.

Ini bermaksud lima ibu kota wilayah sudah jatuh di tangan Taliban sejak Jumaat lalu, dengan Kunduz menjadi keuntungan terpenting bagi Taliban pada tahun ini.

Bandar ini adalah penghubung ke kawasan lain, termasuk ibu kota Kabul.

Keganasan meningkat di seluruh Afghanistan setelah Amerika Syarikat (AS) dan pasukan antarabangsa lain mulai menarik keluar pasukan tentera mereka dari negara itu, setelah 20 tahun operasi ketenteraan.

Taliban telah membuat kemajuan pesat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Setelah menguasai kawasan desa yang besar, kumpulan ini sedang mensasarkan bandar dan kota-kota utama.

Ketiga-tiga bandar di utara itu dikuasai Taliban dalam beberapa jam pada hari Ahad.

Seorang penduduk di Kunduz menggambarkan keadaan itu sebagai “kekacauan total”.

Sementara itu, pemerintah Afghanistan mengatakan pasukannya bertempur untuk merebut semua kawasan-kawasan yang sudah dikuasai Taliban.

Pertempuran sengit juga telah dilaporkan di Herat di barat, dan di bandar-bandar selatan Kandahar dan Lashkar Gah.

Pada masa sama AS telah meningkatkan serangan udara ke atas kedudukan Taliban, dengan pegawai tentera Afghanistan mengatakan ramai Taliban terbunuh.

Tetapi Taliban mendakwa serangan udara itu menimpa dua hospital dan sebuah sekolah di bandar Lashkar Gah.

Dalam pada itu, Kedutaan AS di Afghanistan mengecam “serangan baharu yang ganasTaliban di bandar-bandar Afghanistan”, dengan mengatakan tindakan kumpulan itu untuk “memaksakan pemerintahannya secara paksa tidak dapat diterima”.

“Serangan Taliban ini tidak menghiraukan kebajikan dan hak orang awam dan akan memperburukkan lagi krisis kemanusiaan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast