Foto hiasan

SHAH ALAM – Seorang Ahli Majlis di Selangor mendedahkan telah menerima 30 aduan berhubung orang ramai diminta membuat bayaran tertentu untuk menerima vaksin secara jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin di Shah Alam.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Kong Sai Weng berkata, aduan yang diterima adalah membabitkan beberapa pusat termasuk Dewan Kemuning Utama, Pusat Konvensyen Setia Alam dan Dewan Seksyen 19 Shah Alam.

Katanya, daripada aduan yang diterima, orang ramai diminta membuat bayaran yang berbeza-beza, tetapi antara RM50 hingga RM500.

Menurutnya, pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai menipu dengan memanipulasi perasaan orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin secara segera.

“Aduan mula diterima sejak akhir Julai apabila warga emas dibenarkan menerima vaksin secara jumpa terus dan aduan terus diterima selepas ia dibuka untuk semua orang,” katanya seperti dipetik Nanyang Siang Pau.

Katanya, menurut seorang pengadu, dia telah diminta untuk berjumpa dengan orang tertentu semasa menunggu nombor giliran.

“Dalam kes ini, pengadu hanya dibenarkan menerima vaksin selepas menjelaskan bayaran.

“Dalam satu kes lain, pengadu membayar RM500 kerana dia berasa cuak masa itu dan mahu menerima vaksin secepat mungkin terutamanya kerana berlaku kes jangkitan yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, dalam satu kes di Seksyen 19, Shah Alam, pengadu dilarang untuk menerima vaksin secara jumpa terus selepas dia enggan menjelaskan RM100.

“Walau bagaimanapun petugas lain membenarkan dia mendaftar dan menerima vaksin tanpa membayar apa-apa,” katanya.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa pekerja asing diminta membayar RM80 seorang untuk menerima vaksin di Pusat Konvensyen Midlands, tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dakwaaan itu tidak benar. – MalaysiaGazette