Pengarah Kejuteraan sebuah Majlis Perbandaran di Kedah serta seorang kontraktor direman di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Pengarah Jabatan Kejuruteraan sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000 dua tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula hari ini hingga 14 Ogos ini. 

Kedua-duannya yang berusia 41 dan 48 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, pada jam 11 pagi semalam.

Semalam media tempatan melaporkan lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan mencadangkan syarikat milik bapanya kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini yang berjumlah RM200,000.

Turut ditahan seorang kontraktor berusia 48 tahun itu yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut. 

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah kira-kira jam 10 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dengan diwakili peguam Parmjit Singh. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette