PKPD di 21 lokaliti negeri Sabah dan dua lokaliti di Johor telah ditamatkan pada 11 Ogos 2021 mengikut jadual asal yang ditetapkan selepas meneliti penilaian risiko terkini KKM di kawasan tersebut.

PUTRAJAYA – Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sejumlah besar lokaliti di Sabah dan dua lokaliti Johor pada Rabu ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, di Sabah sahaja sebanyak 21 lokaliti terlibat dalam penamatan PKPD iaitu membabitkan Kota Kinabalu, Penampang, Beufort, Kinabatangan dan Tawau.

Katanya, penamatan PKPD diambil selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di kesemua kawasan tersebut.

“Kota Kinabalu membabitkan lima lokaliti yang ditamatkan PKPD iaitu Kampung Unggun, Lorong Cina 1,2 dan 3, Kampung Tebobon, Plaza Kingfisher dan Pusat Komersial Politeknik.

“Di Penampang lapan lokaliti ditamatkan PKPD iaitu Country Heights Fasa 1,2 dan 3 (termasuk bangunan kedai), Cyber City 1, kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kampung Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kampung Tuunon,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara dan PKPD di Wisma Putra hari ini.

Tambah beliau, PKPD bagi kesemua lokaliti di Sabah dan Johor ditamatkan mengikut jadual asal yang ditetapkan selepas tiada sebarang kes positif baharu yang dikesan di kawasan tersebut.

Malah jelas beliau, empat lokaliti ditamatkan PKPD di Beufort adalah Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beufort Selatan dan Taman Arjuna dan diikuti Perumahan Ladang Tnabau di Kinabatangan.

Justeru katanya, di Tawau lokaliti Kampung Blok 31, Tanjung Batu Darat dan Darat Inderasabah ditamatkan PKPD pada hari esok.

“Manakala dua lokaliti di Johor yang ditamatkan PKPD adalah Kampung Pertanian dan Kampung Separa di Mukim Senai, Kulai dan Asrama Pekerja Tapak Binaan Taman Bukit Perdana Kluang, Johor,” katanya lagi.-MalaysiaGazette