Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan esok pagi.

Sepatutnya prosiding yang juga melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bermula petang ini.

Perbicaraan terpaksa ditangguh kerana Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan terpaksa menghadiri prosiding Mahkamah Rayuan di sini berkaitan tuntutan tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan esok dan dan 10 hari berikutnya iaitu pada 6 hingga 9 September, 4 hingga 7 Oktober dan 20 serta 21 Oktober ini.

Seramai 11 lagi saksi pendakwaan dijangka akan memberikan keterangan bermula esok.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda ketika menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2020.

Sebelum ini, tujuh saksi telah dipanggil ketika perbicaraan  termasuklah bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016 mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette