Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Taman Rimba Mentakab, Pahang sejak 7 Februari lalu akan ditamatkan esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 lokaliti di Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Sabtu ini hingga 27 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD di Sabah akan membabitkan dua lokaliti di Keningau dan masing-masing satu di Kota Kinabalu, Sipitang dan Kota Belud.

Menurutnya, PKPD di Keningau membabitkan dua kilang di Batu 27 dan Batu 28, Jalan Sook iaitu Kilang Bumi Timber Sdn Bhd serta kuarters pekerja dan Perusahaan Kosinar Sdn Bhd serta kuarters pekerja.

“PKPD turut dilaksanakan di Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; Kampung Pengiran, Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, PKPD di Kelantan pula membabitkan lima kampung di Pasir Mas iaitu empat kampung di Mukim Alor Pasir iaitu Kampung Chenerai, Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjong dan Kampung Pak Jak serta sebahagian Kampung Landar di Mukim Kubang Gadong.

Ujarnya, PKPD di Kelantan turut membabitkan Kampung Kubang Sawa di Tumpat.

Selain itu kata beliau, PKPD juga dilaksanakan di dua lokaliti di Pahang iaitu Kampung Bongkok, Bera dan Kampung Gadak, Rompin.

“PKPD mulai Sabtu ini turut membabitkan kuarters pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd di Mukah, Sarawak,” tambahnya.

Hishammuddin menjelaskan, PKPD perlu dilaksanakan susulan trend peningkatan jangkitan Covid-19 di semua lokaliti itu dan prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini. – MalaysiaGazette