Gambar Ahmad Firdaus Raissuddin yang dikongsi Shuib di laman Instagram.

KUALA LUMPUR – Belum reda kejutan berita pemergian Siti Sarah Raissuddin Isnin lalu, suami Allahyarham berkongsi pula perkembangan terkini kesihatan abang iparnya yang juga dijangkiti Covid-19.

Menerusi laman Instagram, Shuib memaklumkan abang kepada Allahyarham Siti Sarah kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Serdang.

”Assalamualaikum semua…Allah Maha Besar…Allah Maha Kuasa…Baru dapat panggilan abang ipar saya abang kepada arwah dimasukkan ke ICU.

”Saya mohon mendoakan Ahmad Firdaus bin Raissuddin semoga diberi kesembuhan segera, Amin Ya Rab,” tulisnya.

Sementara itu di akhir majlis bacaan Yaasin dan tahlil malam tadi, Shuib turut memaklumkan dua pekerjanya turut dijangkiti wabak yang telah mengorbankan nyawa isterinya.

Beliau berkali-kali mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan dan segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Siti Sarah selamat dikebumikan

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos 2021 selepas bertarung nyawa melawan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.

Beliau yang sarat mengandung tujuh bulan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelakinya yang kini masih dirawat di hospital berkenaan.

— MalaysiaGazette