Proses pengebumian dijalankan oleh Shuib, keluarga dan petugas kesihatan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Jenazah penyanyi, Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak selepas solat Zohor sebentar tadi.

Suaminya yang juga pelawak terkenal, Shuib Sepahtu turut hadir dengan lengkap menyarungkan peralatan perlindungan diri (PPE).

Difahamkan, proses pengebumian dikendalikan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sebelum itu, jenazah dibawa dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dibawa ke tanah perkuburan dengan kenderaan van jenazah.

Allahyarham ditayamun dan dikafan di hospital berkenaan.

Jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin dibawa keluar dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur masuk ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.

Penyanyi lagu Semakin itu menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Meninggalkan suami dan tiga anak pada Rabu lalu, Siti Sarah dimasukkan HCTM selepas mengalami batuk teruk dan tahap oksigen menurun.

Dua hari kemudian, Siti Sarah yang hamil hampir lapan bulan itu ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.

 Shuib bersama ahli keluarga dan petugas kesihatan mengendalikan jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.

Bayi yang selamat dilahirkan itu diberi nama Ayash Affan.

Dia terus koma sehingga doktor terpaksa meniarapkannya bagi membolehkan paru-paru dan jantungnya dapat bekerjasama.

Namun Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir sebelum Subuh pagi ini tanpa sempat menatap wajah bayi lelaki dikandungnya itu.

Malah, impian Shuib dan anak-anak untuk menanti kepulangan Siti Sarah juga tidak kesampaian apabila penyanyi itu pergi buat selama-lamanya. – MalaysiaGazette

Shuib kelihatan bersendirian ketika menunggu van jenazah membawa Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.