Datuk Mohd Yusri Hassan Basri
Mohd Yusri Hassan Basri

KUANTAN – Bagi mengaburi mata pihak polis, empat orang warganegara tempatan sanggup menyewa ambulans swasta dengan harga RM1,300 semata-mata untuk merentas negeri.

Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua lelaki dan dua wanita terbabit berputih mata apabila tindakan tersebut dihidu oleh anggota polis di Sekatan Jalan Raya Kampung Tanjung Belenggu, Temerloh pada jam 6.15 petang semalam.

Menurutnya, sepasukan Polis IPD Temerloh dalam OP Covid telah terserempak dengan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di Taman Bahagia dan mendapati beberapa individu berada di bahagian belakang van.

“Semasa lampu siren kecemasan dinyalakan dan beredar menghala ke Jalan Tengku Ismail ambulan tersebut, pihak polis menahan ambulans tersebut di SJR Kampung Tanjung Belengu (Jalan Triang) dengan bantuan petugas SJR.

“Hasil pemeriksaan di dalam ambulan mendapati ada enam penumpang terdiri daripada dua individu bersama sepasang bayi kembar dan dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan lima tahun di bahagian belakang ambulan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen rawatan dan gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan yang sah.

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka menggunakan pemandu ambulans untuk membawa penumpang bersama anak-anak serta ibunya ke kampung halaman di Felda Sungai Kelamah, Gemas Negeri Sembilan dengan bayaran RM1,300,”katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, pihak majikan pemilik ambulans hanya mengetahui pergerakan ambulans oleh kakitangan untuk menghantar pesakit ke Gemas, Negeri Sembilan.

Susulan itu tangkapan dibuat ke atas mereka kerana atas kesalahan gagal mengemukakan sebarang dokumen pergerakan yang sah.

Kesemua tangkapan di bawa ke IPD Temerloh untuk tindakan lanjut.

“Dua suspek lelaki akan direman selepas ujian Covid-19, manakala dua wanita diberi jaminan. Dan majikan van ambulans akan hadir memberi keterangan pada hari esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 270 KK di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tambah Mohd Yusri, siasatan lanjut akan diteruskan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya bagi pendakwaan. – MalaysiaGazette